Selamat Datang Ke Laman UTHMbloggers "Suara Mahasiswa dan Mahasiswi UTHM"

PERHATIAN

KEPADA MAHASISWA DAN MAHASISWI UTHM YANG INGIN MELETAKKAN BLOG KELAB DI UTHMBLOGGERS INI, BOLEHLAH MEHANTAR URL BLOG TERSEBUT DI CHATBOX.


‘Hayati keindahan Islam’



JOHOR BAHRU 6 April – Warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diseru menghayati keindahan Islam yang mencakupi segala aspek kehidupan khususnya dari sudut akidah, ibadat, muamalat, akhlak, ilmu dan sebagainya.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, selain itu, penekanan kepada sifat amanah juga penting kerana tanpanya, seseorang akan menjadi perosak kepada organisasi yang disertainya.

“Bagi memenuhi pengertian amanah maka kita perlu berlumba-lumba menunaikan tugas dan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh dan penuh integriti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul universiti itu anjuran Pusat Islam UTHM di Batu Pahat dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Rugayah Mohamad; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Alumni), Prof. Amir Hashim Mohd. Kassim dan Pengarah Pusat Islam, Prof. Syed Muhammad Dawilah Al Edrus.

Menurutnya, mereka yang amanah tidak akan memandang ringan terhadap sesuatu tugas yang telah diarahkan malah melakukan tanggungjawab itu lebih daripada jangkaan.

“Seseorang yang amanah di dalam pekerjaan akan sentiasa mencari keredaan Allah berbanding pangkat dan imbuhan malah mereka akan sentiasa menjaga rahsia organisasi dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan penyelewengan,” ujarnya.

Beliau berkata, UTHM adalah organisasi pembelajaran yang ditubuhkan dengan amanah untuk melahirkan dan melatih ahli profesional serta teknologi yang mempunyai sahsiah mulia dan berdaya saing di arena global melalui program holistik, pembudayaan ilmu serta penyelidikan yang berteraskan konsep tauhid.

“Selain dari itu, kita juga bertanggungjawab bagi mengangkat martabat negara dalam bidang pendidikan seperti dalam bentuk penyelidikan dan pembangunan ilmu dan inilah amanah yang perlu dipenuhi bersama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua warga UTHM dapat sama-sama memikul amanah yang diberikan dalam usaha memartabatkan UTHM sebagai sebuah universiti berwibawa dan dihormati di persada dunia.

Majlis sambutan berkenaan diisi dengan ceramah yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal dan Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Sheikh Ahmad Faisal Mohammed.

Pada majlis itu juga berlangsung penyerahan wang zakat dari anak syarikat UTHM iaitu KUTECH Sdn. Bhd. sebanyak RM30,000 kepada MAINJ serta penyerahan zakat dari pihak Takaful Etiqa kepada 150 orang mahasiswa UTHM melibatkan jumlah keseluruhan RM 70,000.

Sebelum itu, lebih 1,000 mahasiswa dan staf telah menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat universiti itu.

Perarakan yang melibatkan 32 kumpulan kelab dan persatuan dalam UTHM ini diketuai Pendaftar UTHM, Sulam Hamid dan turut disertai para pelajar antarabangsa.

Sumber:Utusan Online

0 comments:

Since 21 Januari 2009

JOM KLIK
JOM KLIK